A S S A L A M U A L A I K U M W A R A H M A T U L L A H
Memandangkan janji untuk mengepos gambar sudah disempurnakan, kebosanan tahap gaban dan keinginan untuk belajar belum kunjung tiba, maka izinkan saya untuk berceloteh sedikit panjang petang ini. Amaran awal untuk kaki skip bacaan, lebih baik ditekan ikon 'x' di penjuru atas sebelah kanan sebelum anda naik darah. Tulisan ini baku dan formal, padanlah.
Saya tidak mau bercakap pasal kekotoran politikus, mahupun bersoal jawab isu Bani Tamim; kerananya, saya tidak mahir dengan kedua-dua topik ini. Sebagai guru pelatih, saya mau bercakap sesuatu mengenai dominasi. Diktatorial dalam kehidupan seorang penuntut kolej.
Menghantui
Saya selalu terfikir akan perkara ini, sejak dari semester dua lagi. Apakah hidup sebagai remaja yang memilih karier pendidik benar-benar bebas dari kongkongan yang mematikan jiwa? Sebabnya, ada sesetengah orang cakap, guru pelatih seperti sudah ibarat guru: punya pra-gaji <frasa buatan sendiri> dan bebas bersosial. Nampaknya, kenyataan itu benar. Atau adakah?
Dalam sistem di maktab, atau di mana-manapun organisasi yang berorientasikan pendidikan, saya mengesani suatu problema yang sangat tenat membarahi minda dan sentimen generasi kita. Bukanlah bersikap pesimis dengan sistem yang kita ada, namun, manakan bisa ditolak kenyataan bahawa semuanya ada kecacatan dan wajib ditegur.
Masalah, kita terlalu bergantung dengan buku.
Buku adalah alat intelek yang paling berpengaruh sepanjang perkembangan tamadun anak Adam. Berpuluh juta sudah diterbitkan, sejak manusia pertama kali mengenal cara menulis dan membaca. Malahan, dari bukulah, sebuah kerajaan sehebat Abbasid dan Omayyad berjaya dibina. Dari buku jugalah, dunia sekarang menjadi apa adanya sekarang.
Ya, saya tidak menolak kepentingan buku. Tidak sedikitpun juga saya menyanggah pendapat bahawa ianya jauh lagi berpengaruh dari segala macam perihal yang ada di Internet. Namun, umpama pisau, penyalahgunaannya pasti akan membuatkan seseorang berdarah. Negara kita ini, contoh nyata.
Paranoia saya terhadap cengkaman diktatorial buku adalah apabila kami terpaksa tunduk kepadanya dalam apa-apa permasalahan. Apabila ditanya suatu soalan KBKK, kami dikecam untuk meluahkan pendapat sendiri. Sikit-sikit, selak buku. Rasa terperangkap jaa jiwa yang punya pandangan sendiri.
Saya ambil satu contoh, semasa saya menyiapkan tugasan. Dalam salah satu <dari puluhan> tugasan yang diberikan kepada kami, saya menuliskan pendapat saya berkenaan subjek terbabit mengikut cara saya. Dan apabila diserahkan semula folio tadi, saya terkejut; kenapa dibulatkan dengan pena merah? Adakah mempunyai pemikiran sendiri itu suatu jenayah?
Satu lagi contoh adalah ketika melakukan latihan intensif di dalam kelas. Seperti biasa, setelah satu topik berjaya ditamatkan, kami akan diminta untuk membuka halaman begini dan menyiapkan latihan nombor anu hingga/dan anu. Lepas itu, jawapan ada di belakang tu. Haha. Cubalah elak kalau boleh buat tanpa mengintai jawapan sebenar di belakang buku, sebelum indeks. Tipulah, kalau kamu tidak pernah buat neh <apalagi kalau kerja rumah>.
Di peringkat lebih rendah
Kalau kamu perasankan, keputusan SPM, PMR dan UPSR budak-budak sekarang neh, makin mantap Senang-senang jaa dapat A sebaris. Kalau dulu, punyalah mau susah jumpa pelajar yang dapat sekurang-kurangnya 5A dalam SPM. Tapi, taraf moral mereka jauh lagi teruk dari yang pernah berlaku. Kes rogol oleh remaja berumur 13 tahun bukan perkara yang canggung hari ini. Belum lagi kes pecah rumah, membuli, murtad dan seterusnya. Kita yang ada secubit kuasa autnomi cuma mampu menggeleng kepala, tanpa menyelidik punca.
Bagi saya, puncanya adalah program soalan ramalan yang dikeluarkan saban tahun oleh golongan kapitalis yang hanya mengenal untung sabut perniagaan mereka. Bunyinya sangat paradoks, bahkan, tidak berdosa untuk saya dilabel sebagai kontradiktif. Bukankah kesemua buku-buku ini membantu pelajar untuk jadi cemerlang?
Ironisnya
Buku soalan ramalan memalaskan pelajar untuk membaca dan betul-betul meneliti setiap pelajaran yang tersisip dalam buku teks sebenar. Mereka--untuk cemerlang--hanya perlu ke kedai berhampiran dan membeli senaskah dua buku semacam ini. Jawapan ada di belakang, jadinya, mereka cuma perlu menghafal. Lebih teruk lagi, bila kesemua soalan ramalan betul tebakannya. Najis!
Buku Georg von Welling yang diterbitkan pada 1735, berkulitkan kulit manusia 'Opus Mago-Cabbalisticum et Theosophicum' |
Di mana kedinamikan hidup? Di mana cabaran yang sepatutnya dihadapi oleh anak muda kita yang diomong boleh memantapkan peribadi hilang? Di mana proses pembelajaran yang panjang, rumit dan menguji kekuatan minda <yang sepatutnya berlaku> pergi?
Generasi kita sekarang ini, bagaikan robot sudah. Isikan otak dengan ilmu, pergi ke dewan peperiksaan, dan tuangkan semua ilmu itu pada kertas soalan. Lepas itu, lupakan semua, sebab mereka perlu menumpukan pada peperiksaan yang lebih "mempengaruhi hidup mereka". Begitulah seterusnya.
Ibu bapa pula, penting mereka glamor. Asaakan anak dapat A lagi banyak dari anak jiran sebelah, tiada apa lagi yang dikisah. Jiwa anak muda yang sepatutnya kaya dengan interpretasi sendiri, beku dihembus mistral kejumudan tunduk pada buku.
Dan yang lagi menyakitkan hati:
Murid: Cikgu, kenapa sigma tidak boleh dinegatifkan, sedangkan pada halaman seterusnya, boleh?
Cikgu: Alaa, ikut jerlah buku tu. Hafal, jadi boleh lulus peperiksaan.
Neraka.
2 comments:
suka baca kau punya blog . syok !
Oh, sila ke sini: arkib-kami.blogspot.com. Saya (kami sudah berpindah, maaf)
Post a Comment